Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menarik nafas lega apabila sukan itu masih disenaraikan dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun depan

Badan induk itu akan mengemukakan satu lagi permohonan untuk kesemua kategori sukan itu dipertandingkan dalam temasya berkenaan.

Sukan angkat berat negara dipalit dengan kontroversi apabila PABM digantung selama setahun oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) gara-gara kes doping.

Ia menyaksikan atlet negara turut hilang kelayakan untuk bersaing dalam Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Bagaimanapun, badan induk itu memperoleh perkembangan positif apabila sukan berkenaan akan tetap tersenarai dalam Sukma Johor dari 6 hingga 14 Mac tahun depan.

"Hanya beberapa kategori masih belum pasti (untuk dipertandingkan)," kata Naib Presiden PABM, Gerald Rantap Abu, seperti yang dilaporkan Nadi Arena.

"Kalau seperti ura-ura hanya tujuh kategori dipertandingkan, kami memohon agar kesemua 10 kategori lelaki dan wanita dapat dipertandingkan.

"Semua kategori sepatutnya dipertandingkan kerana kami mempunyai pelapis dalam setiap kategori," katanya.

Gerald turut menjelaskan kepentingan untuk sukan angkat berat berada dalam Sukma Johor memandangkan temasya tersebut merupakan platform terbaik untuk mencungkil bakat baru.

"Perkara paling penting yang kita perlu lihat adalah sukan angkat berat merupakan salah satu acara dalam Sukan Olimpik.

"Jadi, kami mahu mencari peluang untuk atlet-atlet kami bertanding dan memberikan mereka pendedahan dalam mana-mana pertandingan.

"Sukma juga merupakan platform yang baik untuk sukan angkat berat," tambahnya.