Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) akur selepas acara trio digugurkan daripada Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2021.

Menerusi setiausaha agungnya, Maradona Chok, turut menjelaskan perubahan format di mana hanya lima atlet sahaja akan dipertaruhkan dalam temasya dwitahunan tersebut.

"Acara trio dan hanya lima atlet sepasukan hanya diperuntukkan bagi setiap negeri dalam Sukma kali ini. Ekoran Covid-19 yang melanda seluruh dunia, ia telah memberikan impak kepada persiapan daripada aspek kewangan pasukan bagi Sukma edisi kali ini," kata Maradona.

Maradona yang ditemui ketika menghadiri mesyuarat persatuan sukan kebangsaan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini meluahkan kegusaran jika ada atlet lain berhasrat mengikut jejak langkah Syaidatul Afifah Badrul Hamidi untuk bersara.

Ia selepas memikirkan skuad boling tenpin negara menghadapi tempoh rehat panjang, kekurangan saingan kompetitif dalam jangka masa dua hingga tiga tahun nanti.

"Ia bergantung kepada para atlet melihat kepada perancangan jangka masa panjang mereka. Banyak kejohanan yang ditangguh dan pihak persatuan dalam usaha untuk memastikan mereka masih lagi kekal di tahap motivasi yang terbaik untuk kekal bersama skuad kebangsaan," katanya lagi.