Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, membidas pihak yang mempertikaikan badan induk itu yang bertegas tidak membenarkan sebarang atlet yang mempunyai rekod positif doping kembali beraksi dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor, Mac tahun depan biarpun sudah tamat menjalani penggantungan.

Ia merujuk dua atlet angkat berat Terengganu, Nurul Afiqah Zamzuri dan Azfar Kamaruddin, yang digantung kerana didapati positif doping dalam Sukma Perak, dua tahun lalu.

Ayub tegas dengan pendirian memandangkan PABM komited dalam memastikan tiada lagi kes doping dalam saingan dwitahunan itu.

Sebarang insiden hanya akan meletakkan angkat berat dalam keadaan bahaya memandangkan sebelum ini ia tidak berada dalam senarai sukan yang akan dipertandingkan gara-gara rekod buruk doping dalam Sukma.

"Adakah tindakan PABM dianggap salah bagi menyelamatkan sukan ini agar dapat terus dipertandingkan dalam Sukma.

"Kita perlu lihat kronologi isu ini kerana itulah janji PABM untuk memastikan sukan ini dimasukkan dalam Sukma Johor.

"Kalau kami tidak berikan janji ini, sukan ini tidak akan dipertandingkan pun.

"Kami telah maklumkannya dalam perbincangan dalam mesyuarat agung, ketika perjumpaan ketua pengarah (Majlis Sukan Negara) tetapi ada wakil dari negeri tertentu yang tidak hadir," katanya dalam perkongsian bersama wakil Nadi Arena, Adam Zamri.

Dalam masa yang sama, Ayub sedia memberi peluang buat bekas badang negara, Hafifi Mansor, untuk berada dalam kem kebangsaan semula selepas selesai menjalani penggantungan empat tahun, Mac depan.

"Dia perlu mengemukakan rayuan.

"Kami ada jawatankuasa yang akan menilai."