Kontinjen judo Terengganu akan menjalani latihan intensif bersama skuad kebangsaan Filipina sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) di Johor, Julai depan.

Jurulatihnya, Marjan Abdullah, berkata dia dan 10 atlet akan ke Manila pada 16 Januari selama seminggu selain turut merancang ke beberapa lagi lokasi di Asia Tenggara.

Selain faktor kos, katanya, Filipina menjadi pilihan kerana dibarisi pemenang pingat emas Sukan SEA kelahiran Jepun, Shugen Nagano, Mariya Takahashi dan Kiyomi Watanabe.

"Saya mahu pastikan atlet saya menguasai teknik Negara Matahari Terbit itu, kemudian digabungkan dengan latihan ala Mongolia kami.

"Selain itu, jurulatih kebangsaan Thailand, Indonesia dan Vietnam turut bersedia menerima atlet Terengganu sebagai rakan pelatih sebelum Sukma bermula," ujarnya.

Marjan yang juga jurulatih negara dalam Sukan SEA lalu, turut mengakui memberanikan diri mempertaruhkan muka baru untuk membawa cabaran Terengganu.

Hanya tiga pemenang pingat emas Sukma 2018, iaitu Alya Yasmeen Rosali, Nur Ain Hafieza Amran dan Muhd Izham Harun, dikekalkan.

Untuk rekod, judo Terenganu meraih lima pingat emas, empat perak dan empat gangsa, namun akur di kedudukan kedua di belakang Pulau Pinang yang meraih enam emas.

"Saya gugurkan beberapa pemenang pingat kerana atlet-atlet baru dilihat lebih berpotensi dan bersemangat dalam latihan.

"Majlis Sukan Negeri (MSNT) menyasarkan enam emas di Johor nanti dan kami sedang berusaha untuk melebihi jangkaan itu," kata Marjan.



Editor: Nafis Abdullah