Komuniti angkat berat menyambut baik keputusan mengekalkan sukan itu dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor Mac tahun depan.

Begitu juga dengan atlet yang bakal mencapai usia 22 tahun apabila mereka berpeluang membuat penampilan terakhir dalam temasya sukan terbesar Malaysia berkenaan.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, di Putrajaya, hari ini, menetapkan 6 hingga 14 Mac 2021 sebagai detik sesuai penganjuran temasya di Johor itu.

"Pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) masih dapat jalankan program khusus angkat berat.

"Oleh itu, saya berharap acara ini dapat dianjurkan dalam Sukma tahun depan," kata jurulatih angkat berat Perlis, Mohd Hanie Musa.





Naib Presiden Persatuan Angkat Berat Kedah, Firdaus Abd Radzak, menganggap ia satu perkembangan positif selepas sukan itu dipalit dengan penggantungan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

"Saya berterima kasih kepada PKBM kerana mempertahankan acara angkat berat dalam Sukma tahun depan," katanya.

"Saya masih boleh bersaing dalam Sukma tahun depan. Alhamdulillah mungkin rezeki saya masih ada.

"Tetapi tahun depan juga ada Sukan SEA dan Sukan Olimpik, jadi saya perlu berlatih dengan lebih gigih lagi," kata pelari pecut Negeri Sembilan, Haiqal Hanafi.

Atlet angkat berat Wilayah Persekutuan, Erry Hidayat, yang akan melangkaui had umur itu turut menyambut baik kelonggaran yang ditetapkan.

"Alhamdulillah diberi peluang kali terakhir mengharumkan nama negeri dalam Sukma," katanya.