Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengharapkan budi bicara pihak pengurusan kelab tempatan demi memberi keutamaan kepada pemain muda beraksi dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor, Julai depan, selepas terpaksa menunda kejohanan yang bakal bertembung dengan temasya sukan tempatan itu.

KRM terpaksa merombak beberapa kejohanan selepas mengambil kira faktor keadaan wabak koronavirus baru (Covid-19) yang melanda negara ketika ini.

Antaranya, saingan Kejohanan 7s Kebangsaan, Liga Ragbi Malaysia (MRL) dan juga Piala Agong.

Anjakan saingan itu bakal mencetuskan pertembungan tarikh dengan saingan Sukma, tetapi kesatuan itu sudah memaklumkan kepada semua pengurus pasukan kelab agar perlu memberi keutamaan kepada pemain-pemain untuk mewakili negeri.

"Dalam seminar pengurusan di Pulau Pangkor Januari lalu, semua pasukan kelab dan negeri sudah bersetuju untuk memberi keutamaan kepada pemain negeri (untuk menyertai Sukma).

"Malah, bahagian teknikal dan pengadil juga akan mengutamakan Sukma.

"Andai Sukma ditunda ke hujung tahun ini maka kami akan mengadakan liga pada Julai depan terlebih dahulu.

"Kami perlu mendapatkan jadual ragbi bagi Sukma yang akan diumumkan 30 Jun depan," kata Naib Presiden KRM, Fahmy Jalil, kepada wakil Nadi Arena, Adam Zamri.

Dalam masa sama, KRM turut gembira apabila seorang lagi pemain negara, Lawrence Petrus, melebarkan sayap beraksi bersama Kelab Universiti Australia Barat dalam kancah Liga Ragbi Australia Barat.

Petrus merupakan pemain keempat dari Malaysia yang mencuba nasib dalam liga profesional luar negara selepas Marc Lee, K. Dineshwaran dan Amin Jamaluddin.

"Ia satu senario positif buat ragbi Malaysia.

"Pembangunan yang kami usahakan mula diiktiraf dan orang sudah mula nampak (kemampuan) pemain negara.

"Bukan mudah untuk pemain Malaysia mendapat peluang beraksi di luar negara memandangkan sukan ini sering dikuasai oleh bangsa Eropah."