Kemajuan kesemua kerja-kerja pembinaan dan menaik taraf venue bagi Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 sudah mencapai 80 peratus dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya April depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Sukma Johor, On Jabbar @ Ja’afar, berkata Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) yang diberikan kepercayaan itu oleh kerajaan negeri sedang melaksanakan tanggungjawab berkenaan dengan baik menjelang temasya itu dari 11 hingga 19 Julai depan, diikuti Para Sukma dari 16 hingga 22 Ogos 2020.

“Sebanyak 11 venue masih dalam pembinaan dan ada venue yang telah siap seperti Stadium Olahraga Mount Austin yang menelan kos RM182 juta, cuma tunggu kemudahan utiliti dan infrastruktur.

"Bagi pengelolaan pula, semua perancangan dah siap mengikut 24 jawatankuasa yang dibentuk seperti penginapan, pengangkutan dan keselamatan.

"Daripada segi gerak kerja dan perolehan, kita akan mulakan pada tahun depan,” katanya dalam sidang media dan majlis memperkenalkan penaja Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) di Wisma OCM hari ini.

Antara venue yang masih dalam pembinaan ialah Youth Hub Iskandar di Iskandar Puteri yang menempatkan trek velodrom dan BMX serta Arena Emas di Taman Impian Emas yang mempunyai gelanggang memanah, arena boling padang, arena petanque dan pusat skuasy.

Selain hab utama di Johor Bahru, beberapa sukan seperti pelayaran dan berbasikal lebuh raya akan dianjurkan di Daerah Kota Tinggi manakala Muar bakal menganjurkan kanu dan angkat berat daripada 26 jenis sukan yang dianjurkan.

-- BERNAMA