Sukan Malaysia (Sukma) Johor Julai depan cukup penting untuk atlet seperti jaguh angkat berat, Muhammad Erry Hidayat, hingga sanggup meneruskan sesi latihan secara persendirian di rumah.

Status kejohanan edisi ke-20 itu akan diputuskan esok.

Latihan di rumah itu bermula sejak 2014 apabila dimulakan oleh bekas juara Sukan Komanwel 1998, Muhammad Hidayat Hamidon, yang juga bapa kepada Erry.

Latihan itu penting untuk mengekalkan prestasi memandangkan dia akan turun sebagai pilihan utama mempertahankan pingat emas yang dimenanginya sejak Sukma 2016.

"Bagi mengekalkan kecergasan dan prestasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, saya menggunakan besi lama.

"Tetapi angkatan saya terbatas kerana tidak dapat membanting.

"Saya hanya dapat melakukan angkatan sekitar 100kg," katanya ketika dikunjungi wakil Nadi Arena, Bazly Azmi, di kediamannya hari ini.

Begitupun, Hidayat menganggap walaupun keadaan tidak sempurna untuk latihan, namun ia boleh menjadi pemangkin kepada prestasi anaknya.

"Di sini saya mengajar Erry dan adiknya tentang teknik asas angkat berat.

"Di sini juga saya mencungkil bakat Erry selepas pulang berlatih di Bukit Jalil, suatu ketika dulu," katanya.