Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, memutuskan temasya di Johor itu akan diadakan pada Mac tahun depan.

Mesyuarat Khas Sukma hari ini itu menerusi persidangan video memutuskan tarikh temasya itu pada 6 hingga 14 Mac 2021 sementara angkat berat pula dikekalkan dalam senarai 31 jenis sukan walaupun dihimpit isu doping.

Tarikh baru itu lapan bulan melewati tarikh asal, iaitu Julai depan.

Namun, ia terpaksa dilakukan bagi menjamin keselamatan 13,000 atlet, jurulatih dan pegawai daripada risiko jangkitan novel koronavirus (Covid-19).




Status angkat berat tidak dibincangkan sekali gus petanda positif akan dikekalkan walaupun Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) digantung ekoran kes doping 2018.

"Mesyuarat (Khas Sukma) telah memutuskan supaya Oktober 2020 sebagai tarikh yang akan membincangkan dan menyemak semula berkaitan perkara-perkara yang diputuskan hari ini termasuk (memuktamadkan) tarikh Sukma.

"Saya harap keputusan ini membolehkan atlet pelapis mengikuti latihan persendirian berdasarkan modul latihan bersama jurulatih masing-masing bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa," katanya dalam satu sidang akhbar di Putrajaya kepada wakil Nadi Arena, Bazly Azmi, hari ini.

Turut mencuri tumpuan apabila atlet berusia 22 tahun dibenarkan beraksi pada 2021 memandangkan sebelum ini had umur Sukma ialah 21 tahun dan ke bawah.

Namun, kebenaran khas itu diberikan apabila Sukma Johor terpaksa penangguhan ekoran penularan Covid-19.