Naib Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah, mengesahkan dua peringkat ujian doping akan dijalankan di semua negeri bermula bulan depan untuk memastikan Sukan Malaysia (Sukma) Johor bebas daripada sebarang masalah.

PABM sudah mendapat lampu hijau Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) untuk menjalankan ujian doping di seluruh negara.

Ujian peringkat pertama akan dijalankan bulan depan sebelum peringkat kedua diadakan dua bulan kemudian.

Ia susulan pertambahan 14 kategori berbanding lapan sebelum ini sekali gus bakal menyaksikan peningkatan jumlah atlet hampir dua kali ganda, Julai nanti.

"Pihak PABM telah meminta ADAMAS agar mengadakan dua saringan dan mereka akan ke setiap negeri atas pembiayaan persatuan masing-masing. Setiap atlet yang bertanding dalam Sukma mesti mendapat sijil atau kelulusan ADAMAS menyertai saingan," kata Janius.

Sukma Perak 2018 menyaksikan seorang atlet gagal ujian doping yang dilakukan sebelum temasya bermula.

Namun, ketika saingan berlangsung, tiga atlet dikesan positif bahan terlarang sekali gus memaksa PABM merangka perancangan baru untuk menghadapi temasya di Johor.