Sarawak mula membayangkan emas sulung acara muay Thai dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 apabila atletnya, Awangku Abdul Rahman Awang Marajaya, mencipta kejutan dalam Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Filipina di Benguet, Filipina pada Sabtu lalu.

Bertanding dalam kategori 51kg, Rahman yang berasal daripada Kelab Muay Thai PS Sebiew, Bintulu membawa cabaran Malaysia untuk mara ke peringkat akhir sebelum kalah tipis kepada petinju tuan rumah, Lance Valenzuela.

Presiden Persatuan Muay Thai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim, berkata petinju muda itu berjaya menewaskan seorang lagi wakil Filipina, Karol Maguide, dalam aksi separuh akhir.

"Ia pendedahan pertama dia dalam aksi antarabangsa dan pencapaian ini amat membanggakan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Rahman merupakan antara lima petinju negara yang membawa pulang sebutir emas, dua perak dan dua gangsa dalam kejohanan dunia yang didominasi petinju tuan rumah itu.

Nur Amisha Azrilrizal menghadiahkan emas dalam kategori 60kg wanita manakala Mohd Sadam Yahya menyumbang perak dalam kategori 60kg lelaki.

Dua pingat gangsa disumbang Nur Khairunnisa Muhamad Riduan (54kg wanita) dan Mohamad Azeem Ismail (67kg lelaki).