Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, Datuk Low Beng Choo, khuatir isu doping membabitkan atlet angkat berat dalam temasya tersebut bakal menyebabkan angkat berat disenaraihitamkan daripada Sukma Johor 2020.

Angkat berat sebelum ini dikeluarkan daripada senarai sukan teras lalu menyaksikan ia tidak dipertandingkan dalam Sukma ekoran terlalu kerap berlakunya kes doping.

Ia kembali disenaraikan semula pada Februari 2018 tetapi pemantauan ketat dijalankan terhadap kesemua atlet yang terlibat.

Sebanyak tiga ujian doping dijalankan, iaitu sebelum, semasa dan selepas berlangsungnya Sukma Perak, namun masih terdapat kes penyalahgunaan bahan terlarang

"Saya difahamkan ada persatuan-persatuan yang mengambil langkah-langkah untuk mengelak perkara ini daripada berlaku.

"Kami telah berpesan kepada pegawai persatuan dan atlet, usahlah menipu," kata Beng Choo.

Isu doping membabitkan atlet angkat berat bukanlah baru di peringkat Sukma apabila sebelum ini dalam edisi Sarawak 2016, atlet Pahang, Khairul Annuar Mohammad, dilaporkan terlibat menggunakan bahan steriod.

Di pihak Jawatankuasa Sukma Perak 2018, mereka tidak boleh mengenakan sebarang tindakan, namun jika dua atlet tersebut didapati bersalah, mereka perlu memulangkan pingat yang dimenangi.

"Pihak Jawatankuasa Sukma hanya akan mengambil semula pingat sekiranya ujian doping seseorang atlet itu didapati positif, selebihnya terpulang kepada persatuan yang terlibat," katanya.

"Saya gigih menjalani latihan kerana ingin bersaing dengan atlet luar negara.

"Saya ingin menebus kekecewaan dalam Sukan Komanwel 2022, oleh itu saya risau program sukan angkat berat akan terjejas," kata atlet negara yang juga pemenang pingat emas kategori 77kg dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak bulan lalu, Erry Hidayat.