Empat pingat emas yang diraih menerusi acara berpasukan hari ini membolehkan skuad memanah Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara acara itu dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2018 di Stadium Pavillion, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Acara recurve berpasukan lelaki menyaksikan gandingan trio Mohd Alif Adha Hassan, Nazir Omar dan Noor Aiman Abdul Hamid mengatasi cabaran Kolej Komuniti Malaysia (KK Mas) 4-2 di peringkat akhir.

"Persaingan tadi agak sengit dan terpaksa ditentukan menerusi shoot off. Syukur kami berjaya memenanginya," kata Aiman.

"Alhamdulillah, kami dapat menyumbang lagi emas buat UPM. Kemenangan berpasukan tadi juga membolehkan kami mengungguli acara keseluruhan bagi memanah.

"Debaran memang ada sehingga membawa kepada beberapa kesilapan ketika menentang KK MAS.

"Secara peribadi, saya berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan kerana dapat mengawal rasa gemuruh," tambah Mohd Alif.

Turut mengutip emas buat UPM adalah skuad recurve berpasukan wanita yang mengatasi UiTM 4-2, skuad compound berpasukan wanita yang menundukkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) 161-160 serta pasukan compound berpasukan lelaki yang nyata lebih unggul berbanding Universiti Malaysia Pahang (UMP) 162-151 dalam aksi final masing-masing.

Kejayaan hari ini bermakna UPM mengungguli acara memanah dengan keseluruhan enam emas, selepas Mohd Alif terlebih dahulu mencatat kejayaan peribadi menerusi acara recurve individu lelaki 70m dan recurve individu lelaki, sebelum ini.