Menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) tidak menjanjikan tiket automatik buat atlet muda untuk membarisi kontinjen negara ke Sukan SEA Vietnam tahun depan.

Ia akan dinilai menerusi kriteria yang akan ditetapkan oleh badan induk Majlis Olimpik Malaysia (kelak).

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, menjelaskan tiada jalan mudah bagi pendedahan atlet pelapis negara untuk program jangka masa panjang itu.

Meskipun menjuarai acara dalam Sukma, mereka akan diserap terlebih dahulu untuk menjalani latihan di bawah program MSN sekali gus menjadi medan mengukur prestasi sebelum ke Hanoi.

MOM bakal rangka senarai kriteria yang ketat sebelum pemilihan itu berlangsung.

"Kami akan berikan pendedahan struktur kejurulatihan yang lebih baik untuk mereka mempersiapkan diri bagi menghadapi Program Podium atau Program Pelapis Kebangsaan.

"Apabila mereka dapat melepasi kriteria yang ditetapkan MSN, barulah mereka layak mewakili negara.

"Tempat mereka untuk beraksi dalam Sukma belum terjamin, mereka perlu bekerja keras dan membuktikan bahawa mereka mempunyai prestasi yang baik untuk mewakili negara," katanya dalam perkongsian kepada wartawan Nadi Arena, Haliza Hamzah, di Bukit Jalil hari ini.


TARIKH BARU PENGANJURAN TEMASYA SUKMA XX & PARA SUKMA XX JOHOR 2020 DISEBABKAN PENULARAN WABAK COVID-19. Berikutan...

Posted by SUKMA XX JOHOR 2020 on Thursday, April 23, 2020


Bagaimanapun, kemungkinan penglibatan atlet senior dalam Sukan SEA masih ada meskipun fokus mereka akan lebih terarah kepada kejohanan yang lebih besar.

"Kami telah mengadakan perjumpaan dengan atlet senior pihak persatuan pada Ahad lalu untuk membuat persiapan ke arah Sukan Asia 2022.

"Sasaran atlet senior menjadi lebih tinggi kerana penanda aras mereka adalah menerusi Sukan Asia dan Sukan Olimpik," katanya.