Sukan SEA Vietnam: Skuad silat berkampung di Vietnam

Oleh Bernama 23 Julai 2020 27
Sukan SEA Vietnam: Skuad silat berkampung di Vietnam
Skuad pencak silat kebangsaan akan menjalani latihan intensif kira-kira dua bulan di Sungkai, Perak bermula 3 Ogos ini sebagai persediaan menghadapi beberapa kejohanan antarabangsa tahun depan, termasuk Sukan SEA Vietnam.

Setiausaha agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berkata latihan intensif itu bagi menyesuaikan skuad negara dengan beberapa peraturan baru suka yang dijangka mula digunakan dalam edisi ke-20 Kejuaraan Pencak Silat Dunia di Kuching, Sarawak pada Julai 2021.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dan Jefri Ngadirin (Pengarah Bahagian Atlet MSN), yang memahami kehendak Pesaka untuk mengadakan latihan di luar (Lembah Klang).

"Bukan kerana kami tidak yakin dengan latihan di Bukit Jalil tetapi mengambil kira penggunaan peraturan baru ini, ia satu perkara yang cukup sukar.

"Saya sendiri, yang juga penggubal kepada pertandingan silat di peringkat antarabangsa, mengakui ia (peraturan baru) mengubah 90 peratus daripada kaedah pertandingan sedia ada dan ini memerlukan satu latihan intensif,” katanya.

Megat Zulkarnain berkata ia melibatkan perubahan pemarkahan daripada segi kaedah serangan dan menjatuhkan pihak lawan sepanjang tiga pusingan pertarungan, sekali gus memerlukan seseorang pesilat mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang mantap.

"Peraturan baru ini sudah diluluskan setelah kami mengadakan perbincangan sebanyak empat kali.

"Kali terakhir perbincangan diadakan menerusi persidangan video baru-baru ini dan pada 22 Ogos ini, pegawai teknikal silat dari seluruh dunia akan mengikuti persidangan video supaya mereka melihat peraturan baru yang akan diperkenalkan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain berkata latihan tersebut diadakan secara tertutup dan kesemua jurulatih dan pesilat kebangsaan, selain pegawai teknikal Pesaka, tidak dibenarkan keluar dari pusat latihan itu sepanjang tempoh berkenaan bagi memastikan mereka benar-benar memahami peraturan baru itu.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen