Sukan SEA Vietnam: Pendedahan sulung buat atlet pelapis 

Oleh Shaiful Shamsudin 19 Julai 2020 68
 Sukan SEA Vietnam: Pendedahan sulung buat atlet pelapis 
Saranan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menghantar atlet muda ke Sukan SEA 2021 sudah tentu membangkitkan persoalan mengenai kemampuan Malaysia meraih pingat seperti sebelum ini.  

Kehadiran muka baru di persada antarabangsa mungkin menjadi risiko kehilangan pingat, namun ia harus dilihat sebagai pendedahan yang berharga buat atlet muda menimba pengalaman. 

Bagi atlet muda, Sukan SEA merupakan pentas terbaik dalam mendapatkan pendedahan awal bertanding di peringkat antarabangsa tetapi untuk memastikan mereka dapat beraksi dengan baik, sasaran pingat haruslah dipertimbangkan supaya mereka tidak terbeban

Wakil Nadi Arena, Irfan Ali, mendapat reaksi positif daripada ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil, termasuk gimnas negara, Izzah Amzan. 

"Ia satu proses untuk atlet mencapai tahap tinggi.

"Pertama, mereka mesti pengalaman dan pendedahan dalam pertandingan dan sebagai atlet muda, tidak salah untuk berikan peluang itu. 

"Kita juga tidak boleh berikan tekanan, anggap ini sebagai langkah awal," kata Manshahar ketika dihubungi. 

Untuk sukan seperti gimrama yang kerap dibarisi atlet muda, Izzah menganggap bakat dan disiplin adalah kunci untuk mereka menyerlah dalam kejohanan bertaraf antarabangsa.

"Ada sesetengah perkara yang saya boleh buat, pelapis tidak manakala ada banyak juga kemampuan mereka yang sudah saya perlahankan. 

"Tahun lalu emas kami dirompak, jadi saya harap pada masa akan datang ia tidak berlaku lagi," kata Izzah, yang salah satu pingat emasnya ditarik di sebalik menang di samping rakan sepasukan, Koi Sie Yan. dalam acara reben Sukan SEA Filipina 2019. 




Dalam pada itu, ratu pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Azreen Nabila Alias, dan atlet angkat berat, Muhammad Erry Hidayat, menyokong kenyataan Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, atas hasrat menghantar ramai atlet muda ke Sukan SEA 2021. 

Namun, atlet muda haruslah mempamerkan prestasi terbaik dan bekerja keras untuk layak mewakili negara ke temasya itu. 

"Pastikan seseorang atlet itu sekurang-kurangnya dapat lepasi kelayakan dan mereka perlu menduduki kelompok tiga terbaik dalam Sukan SEA," kata Azreen Nabila. 

Menurut Erry pula: "Bagus untuk atlet pelapis kerana dapat menimba banyak ilmu ketika bersaing dengan peserta negara lain. 

"Saya mahu perbaiki dalam Sukan SEA akan datang memandangkan ia merosot akibat terkesan dengan krisis COVID-19."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen