Sukan SEA Vietnam : Malaysia berisiko hilang 14 emas

Oleh Staff Writer 15 Julai 2020 517
Sukan SEA Vietnam : Malaysia berisiko hilang 14 emas
Acara sukan yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia dalam setiap edisi Sukan SEA, iaitu bola jaring, menjadi mangsa apabila acara digugurkan oleh penganjur edisi 2021, Vietnam, kerana tidak popular di negara itu.

Ia sekali gus mengimbau pengguguran sukan itu sepanjang edisi 2003 hingga 2013.

Malah, lapan acara sukan lain, iaitu hoki, boling padang, pelayaran, papan selaju, Ragbi 7's, skuasy, boling tenpin dan luncur air turut digugurkan.

Dengan pengguguran sukan-sukan itu, kontinjen negara akan kehilangan 14 emas berbanding edisi di Filipina tahun lalu.

Dalam satu temubual Nadi Arena hari ini, Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Azim Zabidi, berkata:"Satu mesyuarat akan diadakan minggu depan mengenai agenda dan senarai sukan yang akan dipertandingkan. (Senarai) ni hanya saranan Vietnam.

"Kami tidak mahu mengetepikan kutipan pingat tetapi saya yakin sukan yang digugurkan itu akan dimasukkan semula.

"Kami perlu berbincang dengan negara-negara lain seperti Singapura, Thailand dan Indonesia, yang berkemungkinan mempunyai harapan untuk mendapatkan pingat dalam acara yang digugurkan itu.

"Mereka merupakan negara yang besar dalam Persekutuan Sukan SEA (SGF), jadi apa yang kami sarankan itu adalah perkara utama, jadi mereka tidak boleh mengetepikan keputusan itu.

"MOM masih belum membuat keputusan untuk senarai atlet. Selepas kami bermesyuarat minggu depan dan mengesahkan acara sukan yang disertai, baru kami akan tentukan rancangan berikutnya," katanya.

Kekecewaan itu turut dikongsikan atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy.

"Keputusan ini memang sudah dijangkakan kerana Vietnam tiada pelayar dan tidak pernah menyertai mana-mana kejohanan pelayaran.

"Kemungkinan besar ia memang tidak akan dianjurkan. Tiada masalah bagi kami sekiranya tidak menyertai Sukan SEA kerana fokus utama kami adala Sukan Olimpik," katanya.

Berdasarkan penyertaan kontinjen negara di Filipina, Malaysia menyertai sebanyak 52 daripada 56 acara yang dipertandingkan, namun terpaksa akur berada di kedudukan kelima keseluruhan dan gagal menepati sasaran 70 pingat emas.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen