Pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina 2019, Sam Jee Lek, tekad mempertahankan gelaran di gelanggang tarian yang dimenanginya tahun lalu dalam edisi 2021 di Vietnam.

Semangat itu yang dilontarkan 'Lego Sam' dan ia umpama satu cabaran juga buat dirinya tatkala sukan ‘breakdance’ itu belum mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ya sudah semestinya, saya akan berjuang sekali lagi dalam usaha pertahankan pingat emas di Vietnam, saya bukannya seorang yang hanya mencipta kejutan sekali ," katanya.





Namun, dengan pingat emas yang dimenanginya menerusi kutipan mata maksimum, atlet berumur 25 tahun itu tetap belum berpuas hati serta masih mahu mencari lebih banyak gelaran untuk dimenangi, khususnya temasya di Vietnam pada tahun depan dalam usahanya terus mengukir nama.

“Saya akan cuba membuktikan yang saya mampu pergi lebih jauh," katanya.

Dalam masa sama, meskipun dia banyak menghabiskan masa di China demi kerja dan latihan, Malaysia tetap menjadi pilihannya kerana keadaan dan persekitaran yang lebih baik.

“Saya lebih suka makan nasi lemak. Saya lebih menggemari tinggal di Malaysia kerana persekitarannya, tambahan pula keluarga dan kawan-kawan saya semua disini."