Sukan SEA Vietnam: KOM hanya akan hantar atlet terbaik

Oleh Staff Writer 21 Julai 2020 42
Sukan SEA Vietnam: KOM hanya akan hantar atlet terbaik
Perancangan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menyenaraikan atlet muda dalam Sukan SEA Vietnam tahun depan dikhuatiri akan menjejaskan hasrat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk memburu gelaran hatrik "lelaki terpantas Asia Tenggara".

Syarat kelayakan bagi sukan olahraga adalah dengan mengatasi catatan pingat gangsa edisi terdahulu.

Ia pasti akan menjadi cabaran berganda buat atlet muda yang terpilih dalam acara 100 meter lelaki memandangkan mereka bukan sahaja perlu melepasi had kelayakan itu, bahkan mempertahankan pingat emas dalam acara berkenaan.

Malaysia sebelum ini boleh mendabik dada dengan kecemerlangan Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi, yang memenangi emas acara pecut 100 meter, masing-masing dalam Kuala Lumpur 2017 dan Filipina 2019.

"Memang kami mahu hantar atlet remaja ke Sukan SEA tetapi kami perlu melihat daripada segi pretasi," kata jurulatih olahraga pecut negara,  M. Balamurugan.

"Ada pretasi atlet senior yang lebih bagus jika dibandingkan dengan atlet remaja.

"Untuk Sukan SEA ini ada tempoh kelayakan, jadi kami akan melihat daripada catatan masa mereka. 

"Sekiranya catatan masa atlet remaja hampir atau sama dengan had kelayakan, pasti kami akan menghantar mereka.

"Atau kami akan menghantar seorang atlet remaja dan seorang atlet senior untuk setiap kategori kerana setiap kategori dibenarkan dua atlet dari negara yang sama," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen