Momentum kem skuasy negara kembali ke latihan terpaksa direhatkan beberapa hari berikutan bakal menjalani ujian saringan wabak COVId-19, Isnin ini tatkala status pembidaan Kejohanan Remaja Dunia menjadi tanda tanya.

Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) berhasrat menganjurkan kejohanan itu namun terlebih dahulu perlu menetapkan tarikh kejohanan di sebalik penularan pandemik berkenaan.

"SRAM sudah menyatakan pendapat bahawa September depan merupakan tarikh sesuai untuk kami menganjurkan Kejohanan Remaja Dunia," jelas Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam.

Dalam masa sama, bagi mengurangkan risiko atlet negara dijangkiti pandemik itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dijangka akan menghantar kontinjen yang lebih kecil ke Sukan SEA Vietnam 2021 -- pengurangan 11 peratus berbanding temasya di Filipina tahun lalu.

Apa yang jelas, MOM mempertimbangkan untuk menghantar atlet yang mempunyai potensi untuk meraih pingat daripada mereka yang kurang menyerlah.

"Kami bersedia melihat hasil perbincangan setiausaha agung MOM (Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memilih pingat apakah yang boleh dipertahankan selain cadangan jenis sukan yang akan diusulkan pihak tuan rumah," kata Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria.