Sukan SEA Vietnam 2021: Lapan sukan kemuka rayuan penyertaan 

Oleh Bernama 18 Julai 2020 140
Sukan SEA Vietnam 2021: Lapan sukan kemuka rayuan penyertaan 
Sebanyak lapan persatuan sukan kebangsaan telah mengemukakan rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi disertakan dalam Sukan SEA ke-31 di Vietnam pada tahun depan.

Lapan sukan itu terdiri daripada sambo, kriket, pelayaran, bola jaring, boling padang, hoki dalam dewan, skuasy dan ragbi 7s. 

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata kesemua permohonan tersebut akan dibawa oleh wakil MOM ketika sesi maya bersama ahli Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada Selasa dan Rabu ini.

Beliau telah mengarahkan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib, untuk mendapatkan senarai penuh sukan daripada persatuan sukan kebangsaan yang bercadang membuat rayuan kepada MOM.

“Mengikut anggaran kasar, berdasarkan cadangan (jenis sukan) dari Vietnam, kami akan kehilangan lebih kurang 18 pingat emas, jika dibandingkan dengan penyertaan kita dalam Sukan SEA 2019 di Filipina.

“Kalau dibezakan dengan edisi 2017, kami akan kehilangan 40 emas,” katanya dalam sidang media, selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-193, di Wisma MOM, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Norza tidak menolak kemungkinan bahawa lebih ramai atlet muda dan pelapis, akan dihantar bertanding pada Sukan SEA 2021, namun tertakluk kepada perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), serta persatuan sukan kebangsaan.

Beliau menegaskan penglibatan lebih ramai atlet muda atau pelapis adalah sebagai medan pendedahan sebelum mereka berdepan temasya sukan yang lebih besar, termasuk Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Vietnam dilaporkan bercadang menganjurkan 36 sukan, melibatkan 450 acara pada edisi ke-31 dari 21 Nov hingga 2 Dis depan.

Malaysia menduduki tempat kelima dalam Sukan SEA 2019 di Filipina menerusi kutipan 56 emas, 58 perak dan 71 gangsa dalam 52 daripada 56 acara keseluruhan.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen