Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, tidak mahu kelibat atlet tidak berdisiplin merosakkan keharmonian kontinjen negara, dengan merujuk kepada isu S. Komalam Shally dan isu melanggar perintah berkurung.

Khairy tidak melihat negara bakal kehilangan prospek emas Sukan SEA Kuala Lumpur dengan ketiadaan Komalam, sebaliknya menegaskan tiada tempat untuk atlet yang gagal mengekalkan keharmonian dalam kontinjen negara ketika ini.

Keputusan penilaian daripada pengurus pasukan sudah cukup untuk menggambarkan Komalam gagal memenuhi teguran terdahulu dan kemuncaknya dalam isu terbaru membawa kepada keputusan penggugurannya pada saat-saat akhir.

"Didapati bahawa dia adalah atlet yang mengganggu persiapan atlet lain juga. Oleh yang demikian, pengurusan sukan telah membuat keputusan untuk menggugurkannya," katanya.

Dalam isu berlainan, Khairy menerima penjelasan dua atlet daripada badminton dan futsal yang terlibat dengan kegagalan mematuhi perintah berkurung, namun menyerahkan keputusan akhir kepada chef-de-mission negara, Datuk Marina Chin.

"Saya harap pemantauan atlet di kem kita dapat diperketatkan supaya tiada insiden lagi. Kita terimalah penjelasan mereka dan saya harap tiada kes lagi sebab disiplin mestilah diutamakan."

Dua atlet terbabit melanggar perintah berkurung selepas jam 11.30 malam di Hotel Renaissance Kuala Lumpur yang menjadi penginapan rasmi kontinjen negara sepanjang temasya itu.