Jurulatih angkat berat kebangsaan, Stefan Stefanov, berpuas hati dengan peningkatan yang dipamerkan atletnya dalam persiapan untuk menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos tahun depan.

Skuad negara mempamer persembahan baik, terutama ketika Kejohanan Komanwel di Pulau Pinang, hujung bulan lalu.

Dua emas berjaya diraih menerusi Muhammad Zaidi Mohd Nordin bagi acara 62kg serta Hafifi Mansor 69 kg.

"50 peratus atlet pergi ke sana bertanding buat kali pertama di peringkat antarabangsa, menunjukkan prestasi sangat baik. Keputusannya sangat-sangat menarik, meningkat 5kg, 10kg.

"Mengenai program latihan, bagi saya tiada masalah, mungkin akan diadakan di sini, mungkin di luar negara. Tiada masalah," katanya.

Sementara itu, Zaidi tidak menyangka mampu mencipta kejutan dengan meraih emas dalam kejohanan itu menerusi angkatan 261kg.

Jelasnya, ia memberikan lebih motivasi untuk memastikan dia berada di dalam senarai akhir program Kita Juara, Mac tahun depan.

"Dengan saingan hebat daripada negara-negara lain, tak sangka saya boleh dapat emas. Untuk sasaran di peringkat senior ini, hanya gangsa sahaja. Memang gembira apabila dapat emas.

"Latihan macam biasa, berjalan dengan lancar semua, saya harap dalam pemilihan ini, saya boleh masuk dalam pemilihan terakhir pada Mac ini."

Bagi Loro Welkinson, kecederaan bahu sedikit menjejaskan prestasinya apabila sekadar meraih pingat perak kategori 77kg.

Begitupun, dia bertekad ingin mengatasi kehampaan itu dalam Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan 2016 di Sabah, bulan depan.

"Sekarang saya sedang menerima rawatan fisioterapi dan sekarang ada baik sikit.

"Latihan sekarang macam biasa, prestasi tidak berapa turun dan kini dalam persiapan untuk kejohanan.

"Tengok keadaan nanti, kalau kecederaan bahu saya baik, saya akan sertai kejohanan." katanya.