Malaysia meneruskan kecemerlangan selepas mengatasi skuad muda negara 64-36 dalam aksi kedua pusingan round robin Kejohanan Bola Jaring Pra-Sukan SEA di Stadium Juara Bukit Kiara, hari ini.

Kapten pasukan negara, Nur Syafazliana Mohd Ali, berkata prestasi pasukannya kini berada di landasan yang betul dalam persiapan menuju ke pertandingan sebenar bulan depan.

"Prestasi pasukan begitu membanggakan dan diharapkan ia berkekalan sehingga ke Sukan SEA nanti," katanya.

Pasukan negara baru sahaja pulang ke tanah air selepas menjalani latihan dan menghadapi lima perlawanan persahabatan di Melbourne, Australia, dari 7 hingga 22 Julai.

Mengulas mengenai persiapan yang memberangsangkan apabila memenangi empat perlawanan dan tewas sekali di sana, Syafazliana berkata ia satu pentanda baik kepada Malaysia untuk berdepan pesaing dari negara serantau nanti.

"Australia adalah pasukan nombor satu dunia dan walaupun kami bermain dengan pasukan kelab dan pasukan sekolah tinggi, perlawanan itu memang mencabar. Mereka mempunyai kelajuan.

"Di sana, kemi memenangi empat perlawanan dan kami hanya kalah sekali kepada pasukan lelaki Victoria Australia. Tetapi kami berjaya memberi tentangan hebat kepada mereka. Kami tidak mengaku kalah," katanya.

Tambah Syafazliana, dia yakin bahawa skuad negara mampu menyumbang pingat emas dalam Sukan SEA, sekaligus menebus kekecewaan dalam temasya itu dua tahun lalu di Singapura.

"Ya, kami amat bersedia untuk memegang pingat emas,"

Pasukan Singapura muncul juara dalam Sukan SEA 2015 di Singapura setelah melakar kemenangan tipis ke atas Malaysia 46-43.

Bagaimanapun, skuad negara bangkit untuk bergelar juara Asia dengan menewaskan Sri Lanka di Bangkok, Thailand, tahun lalu, manakala Singapura sekadar di tempat ketiga.