Atlet luncur air Singapura, Sasha Christian, melabelkan venue luncur air Sukan SEA di Putrajaya tidak banyak beza dengan tempat latihan hariannya, sekaligus melihat sasaran untuk mempertahankan dua emas yang dimenangi pada 2015 bukan misi mustahil.

Sasha mengharungi aksi kurang memberangsangkan pada hari pertama Pra Sukan SEA yang di adakan minggu lalu.

Namun, memasuki peringkat final pada hari kedua, atlet dari Singapura itu tampak semakin selesa dengan venue Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, sekaligus menyaksikan dia mudah menguasai dua acara, iaitu wakeboard dan slalom.

Tegas Sasha, tidak banyak bezanya venue Sukan SEA dengan tempat latihan hariannya di Singapura, terutama membabitkan suhu tasik itu sendiri.

"Saya suka keadaan di sini (Putrajaya) dan beberapa kali sudah berada di sini.

"Pesaing-pesaing pasti akan memberikan cabaran lebih sukar, jadi saya akan melakukan persiapan yang rapi," katanya.

Sasha, yang baru sahaja pulih daripada kecederaan sejak enam bulan lalu, tetap berhati hati dengan pesaing dari negara lain, terutama membabitkan bintang utama negara, Aaliyah Yoong, bagi acara slalom.

Aaliyah menguasai acara slalom pada hari pertama Pra Sukan SEA itu, namun kedudukan itu berjaya dirampas Sasha dalam aksi final yang turut mempamerkan penguasaannya sepanjang beraksi.

"Seperti saya katakan, pesaing lain amat kuat dan ia sudah tentu memberikan saingan yang sengit," tambahnya.