Atlet lompat jauh negara, Abdul Latif Romly, tidak berani menjanjikan apa-apa pingat di pentas Sukan SEA 2017 memandangkan persiapan penuhnya baru sahaja bermula selepas tamat Kejohanan Olahraga Para Dunia di London, 14-23 Julai lalu.

Latif, juara dunia 2017, baru sahaja memulakan latihan penuh di trek Majlis Sukan Negara (MSN) semalam selepas kembali ke tanah air minggu lalu.

Sebelum ini, dia berdepan kecederaan buku lali yang memaksa dirinya melupakan beberapa kejohanan yang melibatkan atlet normal seperti Terbuka Singapura dan Terbuka Thailand.

Ketika Kejohanan Para Dunia, Latif masih lagi bergelut untuk kembali ke prestasi sebenar, oleh itu tiada jaminan untuknya menyasarkan pingat dalam Sukan SEA ini.

"Latihan di sini (trek MSN) lebih baik kerana sebelum ini saya hanya berlatih di atas padang. Selepas trek ini siap, ia memudahkan kami berlari dan melompat," katanya.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio itu menyifatkan latihan berganda disediakan jurulatihnya, Shahrul Amri Suhaimi, yang pada masa sama mementingkan aspek kecergasan bagi mengelak kecederaan berulang.

"Minggu ini, jurulatih kata latihan mesti keras dan mungkin pada minggu depan ia lebih kurang sedikit sebab sudah hampir dengan hari pertandingan," tambahnya.

Acara lompat jauh Sukan SEA akan berlangsung pada 24 Ogos, bermula jam 8 malam.