Peninju negara, Arfiqanie Ahmad Anshori, bertekad enggan lagi kecewa buat kali ketiga dalam misinya merebut tempat untuk membawa cabaran Malaysia dalam Sukan SEA Filipina tahun depan.

Selepas terbabit dalam dua temasya Sukan SEA, iaitu 2015 di Singapura serta di Kuala Lumpur tahun lalu, Arfiqanie masih belum berpeluang untuk menyumbangkan pingat buat Malaysia.

Nyata, kekecewaan itu memberikan lebih motivasi buat dirinya untuk memastikan dia tampil dengan persembahan lebih bertenaga di Manila nanti.

Berdasarkan pengalaman dan prestasi, dia serta Muhamad Fuad Redzuan menjadi antara taruhan terbaik untuk meraih pingat.

"Dalam dua edisi terdahulu, saya gagal mendapatkan pingat susulan kekalahan kepada peserta dari Thailand.

"Oleh itu, saya ingin buat yang terbaik. Persiapan saya semakin baik memandangkan jurulatih sudah mengenal pasti rentak pertarungan saya," katanya.

Satu lagi pertandingan yang menanti Arfiqanie selepas ini ialah Pesta Pulau Pinang pada Disember nanti yang turut menampilkan peninju dari Thailand, Indonesia, Singapura serta Taiwan.

Secara keseluruhan, dia mengakui kurang berpuas hati dengan pencapaian yang diraih tahun ini sambil berharap rentak itu dapat diperbaiki pada 2019.

"Tahun ini saya tidak banyak menyertai kejohanan tetapi pada Jun lalu, saya meraih pingat perak dalam satu kejohanan di Indonesia.

"Pada penghujung tahun ini, saya akan menyertai satu kejohanan di Pulau Pinang," katanya.