Sukan SEA Filipina 2019: Kontinjen negara hilang 22 emas

Oleh Staff Writer 26 November 2018 9507
Sukan SEA Filipina 2019: Kontinjen negara hilang 22 emas
Skuad terjun negara menerima tamparan hebat apabila hanya tiga acara sukan itu tersenarai dalam Sukan Sea Filipina tahun depan.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Mohd Najib, mengesahkan Malaysia awal-awal lagi sudah kehilangan 22 pingat emas.

Jaguh utama negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong, dijangka terlepas temasya tahun depan selepas Persekutuan Sukan Sea (SGF) hanya menyenaraikan tiga acara papan anjal.

Ini bermakna skuad terjun hilang sembilan emas yang dimenangi dalam temasya di Kuala Lumpur, tahun lalu.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis SGF di Filipina, Sabtu lalu.

"Kami telah mengemukakan permohonan untuk penambahan acara bagi setiap sukan yang mempunyai potensi untuk membutirkan pingat emas.

"Perkara tersebut masih dalam pertimbangan pihak tuan rumah dan SGF.

"Keputusan sebenar akan kami peroleh awal tahun depan," katanya.

Terdahulu, skuad basikal trek turut kecewa apabila acara itu tidak dipertandingkan kerana tuan rumah tidak memiliki velodrom.

Azizulhasni Awang dan rakan-rakan meraih 13 emas dalam temasya Kuala Lumpur dan menjadi penyumbang terbanyak kontinjen negara, tahun lalu.

Sementara itu, acara bola sepak dalam temasya kali ini turut mengehadkan usia B-22 berbanding B-23 dalam temasya terdahulu.

"Sukan SEA tahun depan bakal menjadi persiapan untuk kelayakan Sukan Olimpik dan Kejohanan AFC.

"Format tersebut diubah bagi memudahkan proses penyediaan pemain dalam kedua-dua acara itu," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen