Spekulasi jenis bahan terlarang yang diambil oleh seorang atlet terjun negara yang didakwa positif doping terjawab apabila Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengesahkan ia adalah sibutramine.

Sebelum ini, tiada kenyataan rasmi dibuat mengenai bahan terlarang yang diambil oleh atlet terbabit sehingga disahkan sendiri oleh Presiden ASUM, Datuk Seri Shahidan Kassim.

"ASUM telah menerima surat daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengenai keputusan ujian doping atlet terbabit yang dijalankan dalam Sukan SEA lalu yang dikesan positif sibutramine.

"Pihak ASUM telah menemui atlet tersebut dan dia telah meminta terus kepada Jawatankuasa Anti-Doping Sukan SEA 2017 untuk menguji sampel B," kata Shahidan hari ini dalam mesyuarat yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, bagi meneliti isu yang melanda sukan terjun itu secara terperinci.

ASUM mengharapkan tiada lagi sebarang kesimpulan dibuat kerana semua pihak harus menunggu keputusan sampel B seperti yang diminta atlet itu.

Tegas Shahidan, identiti atlet berkenaan tidak akan didedahkan selagi tiada keputusan dan hukuman dibuat terhadapnya.

"Sehingga sampel B dikenal pasti, selaras dengan peraturan WADA (Agensi Anti-Doping Dunia), maka sebarang nama dan pengenalan tidak boleh didedahkan.

"Sebarang tindakan lanjut oleh ASUM tidak boleh dilaksanakan sehingga pihak Sukan SEA membuat keputusannya."

Dalam perkembangan lain, kes rogol melibatkan jurulatih dan atlet pula, Shahidan menegaskan ASUM memberi kerjasama penuh untuk membantu siasatan pihak polis dalam kes yang dilaporkan Ahad lalu.

Jurulatih dan atlet terbabit kini dikecualikan daripada sebarang program latihan dan kejohanan di bawah ASUM.

Tugas jurulatih itu juga digantung serta-merta sehingga siasatan selesai.

"ASUM turut bersetuju bahawa atlet dan jurulatih terbabit dikecualikan daripada program terjun kebangsaan.

"ASUM turut menyokong keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menubuhkan pasukan petugas bagi menangani masalah gangguan seksual dalam sukan di negara ini," katanya.