Ketua pasukan kriket lelaki negara, Anwar Arudin, tidak menolak kemungkinan Malaysia mampu mara ke final berdepan Singapura dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan depan, jika berdasarkan undian peringkat kumpulan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama pasukan Myanmar dan Thailand manakala seteru utama, Singapura, dalam Kumpulan A dengan Indonesia dan Vietnam.

Bagi Anwar, tiada masalah untuk skuad kendalian Bilal Asad itu menyingkirkan Myanmar dan Thailand yang dianggap masih baru dalam sukan ini, apatah lagi kriket pertama kali dipertandingkan dalam Sukan SEA.

Paling utama adalah aksi final yang dijangka paling sengit apabila menyaksikan Singapura sering kali menjadi ancaman besar kepada negara.

"Sudah tentu kami berdepan dengan tekanan. Tetapi, kami tidak terlalu memikirkannya kerana secara dasarnya dalam Sukan SEA ini, Singapura sahaja yang dilihat pencabar terhebat.

"Selain daripada itu adalah negara yang baru berkecimpung dalam kriket," kata Anwar.

Anwar, yang baru sahaja dilantik sebagai ketua pasukan negara, enggan mensia-siakan kepercayaan yang telah diberikan untuk kriket melakar sejarah buat negara dalam edisi kali ini yang bermula 36 hari lagi.

"Rakan sepasukan saya menunjukkan semangat dan kematangan menerusi kerjasama berpasukan dan kefahaman mereka dalam membaca permainan."