Sering bersaing sesama sendiri untuk menjadi yang terbaik sudah menjadi rutin kepada dua atlet cilik luncur air negara, Aiden Yoong Hanifah dan Adam Yoong Hanifah, dalam persiapan untuk ke Sukan SEA 2017.

Aiden, 11, dan Adam, 9, bakal menjadi peserta termuda untuk mempertaruhkan aksi dalam acara tricks di pentas Sukan SEA edisi kali ini.

Aiden, yang meraih pingat gangsa dalam edisi lalu di Singapura, menjadikan adiknya, Adam, sebagai pesaing untuk memburu jumlah mata tertinggi.

Aiden mengakui berasa tercabar jika Adam mampu menyainginya dan daripada situlah mereka akan cuba berusaha untuk memperbaiki prestasi masing-masing dalam rutin latihan.

"Sudah tentu saya mahu menewaskannya dan juga peserta lain. Saya boleh lakukan," kata Aiden.

Sementara itu, bagi Adam, Sukan SEA kedua yang disertainya ini pasti berbeza kerana kali pertama akan beraksi untuk sukan luncur air ini.

Sudah pasti menjadi atlet termuda dan dikelilingi adik beradik yang turut terlibat dalam temasya dwitahunan itu, Adam sering diingatkan untuk mengambil serius apabila menjadi tumpuan utama pesaing negara lain.

"Saya hanya akan melakukan yang terbaik, tidak memikirkan peserta lain dan hanya fokus dengan apa yang mahu dilakukan," kata Adam.

Luncur air akan dipertandingkan di Kompleks Sukan Air, Putrajaya, dari 25 Ogos hingga 29 Ogos ini.

Acara:

• Slalom lelaki & wanita
• Jump lelaki & wanita
• Tricks lelaki & wanita
• Keseluruhan lelaki & wanita
• Wakeboard lelaki & wanita
• Wakeboard berpasukan campuran