Jurulatih luncur air, Larry Gisler, mahu Aaliyah Yoong Hanifah memberi keutamaan kepada persediaan mental bagi mengelak perasaan gugup yang mungkin mengganggu fokusnya dalam Sukan SEA.

Prestasi baik Aaliyah dalam saingan awal Pra-Sukan SEA, Ahad lalu, berubah sebaik dia melangkah ke peringkat final, dan Gisler menegaskan perkara itu perlu diatasi segera.

Walaupun masih mendahului peserta lain dengan memastikan kedudukan keseluruhan memihak kepadanya, Aaliyah tidak dapat menafikan kegugupan menjadi punca dia gagal mencapai tahap prestasi sebenar.

Gisler berkata dia perlu memastikan Aaliyah bijak mengatasi masalah itu memandangkan dia adalah prospek utama untuk menyumbang emas dalam sukan itu.

"Kami masih memikirkan untuk meningkatkan lagi (prestasinya) dalam tempoh tiga minggu dan berlatih bersama secara spesifik dalam aspek psikologi. Ini adalah tugas utama dalam tempoh ini."

Mengulas lanjut, Gisler berkata ia adalah perkara normal untuk Aaliyah yang baru mencecah usia 14 tahun dan mungkin beraksi di tempat sendiri buat pertama kali membuatkan dia terlalu berhati-hati.

Dengan kredibiliti selaku peluncur remaja di tangga keempat dunia bagi acara tricks dan ke-12 dunia bagi keseluruhan, Gisler yakin masalah kegugupan Aaliyah hanya bersifat sementara.

"Dia sedang membesar dan kita perlu faham bahawa dia sangat muda. Purata pesaing adalah pada sekitar 20-an, (sebaliknya) dia baru berumur 14 tahun.

"Sudah tentu ada sedikit ketidakstabilan psikologi. Kami akan bekerja keras untuk menyelesaikan masalah ini."