Ratu luncur air negara, Aaliyah Yoong, teruja dengan keputusan pada hari pertama Kejohanan Pra-Luncur Air Sukan SEA apabila mengakhiri saingan di kedudukan pertama bagi ketiga-tiga acara.

Aaliyah sendiri seakan-akan tidak percaya apabila dua acara bukan kegemarannya berjaya disudahkan dengan kutipan mata tertinggi apabila mengatasi penyandang pingat emas Sukan SEA 2015 dari Indonesia bagi acara jump, Rossi Amir, manakala Shasha Cristian dari Singapura dalam acara slalom.

Bagaimanapun, bagi Aaliyah, persaingan sebenar bakal ditentukan esok menerusi aksi final bagi ketiga-tiga acara selain keputusan keseluruhan sebagai kemuncak saingan.

Tegas Aaliyah, dia tidak mahu tenggelam dengan keputusan yang ditampilkan pihak lawan kerana yakin itu bukan prestasi sebenar mereka kerana Aaliyah turut melakukan perkara yang sama menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan depan.

"Saya ingin mencapai kemuncak prestasi dalam Sukan SEA nanti.

"Jarang atlet mencapai kemuncak prestasi secara berturut-turut dalam tempoh terdekat," katanya.

Dalam aksi pusingan awal hari ini, Aaliyah terlalu hebat untuk ditandingi peserta-peserta lain dalam acara kegemarannya, iaitu tricks, dengan mengumpul 6,970 mata, selain turut mendahului kedudukan pertama bagi acara jump dengan catatan 31.1 meter selain slalom.

"Pencapaian saya dalam slalom kali ini agak mengejutkan.

"Ini kerana selama ini Rossi dan Shasha sentiasa mendahului saya."