Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan pemilihan atlet kategori B dalam Sukan SEA Ke-30 di Manila akan lebih ketat berikutan prestasi buruk atlet di bawah kategori itu dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata Pengerusi Jawatankuasa Kajian Semula Bebas, Tan Sri Dr M. Jegathesan, yang ditugaskan menilai semula prosedur operasi standard (SOP) akan membentangkan cadangan itu Januari depan.

Jawatankuasa Kajian Semula Bebas itu turut dianggotai bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad, dan Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, serta beberapa personaliti sukan tanah air.

“Kami akan memperkasakan proses pemilihan atlet, terutama dalam kategori B, kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini (Sukan Asia), banyak masalah timbul melibatkan atlet kategori B,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM, hari ini.

Dalam Sukan Asia 18 Ogos-2 September lalu, hanya dua daripada 241 atlet kategori B meraih pingat dalam temasya edisi ke-18 itu, iaitu menerusi Qabil Ambak Mahamad Fathil (perak acara dressage) dan pesilat Kelas C (55-60kg), Hazim Azmad, yang meraih gangsa.

Penyertaan dalam kategori A menyaksikan atlet akan diberikan tajaan penuh manakala kos atlet kategori B perlu ditanggung pihak persatuan masing-masing.

Bagaimanapun, perbelanjaan atlet kategori B itu akan dibayar semula sekiranya atlet persatuan sukan berkenaan berjaya meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

-- BERNAMA