Sukan SEA 2019: Skuad lawan pedang berdepan dilema dana 

Oleh Penulis Jemputan 30 November 2018 89
Sukan SEA 2019: Skuad lawan pedang berdepan dilema dana 
Atlet lawan pedang, Joshua Koh I-Jie, mengharapkan Persekutuan Lawan Pedang Malaysia (MFF) dapat merangka program latihan lebih tersusun tahun depan bagi menghadapi tiga kejohanan utama, termasuk Sukan SEA Filipina.

Kejohanan Asia, Kejohanan Dunia dan Sukan SEA 2019 amat penting untuk Joshua kembali meletakkan prestasinya di tahap terbaik selepas beraksi hambar dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos lalu.

Namun, bagi memastikan misi itu tercapai, sokongan daripada MFF amat diperlukan apabila Joshua tidak lagi berada di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) dan berlatih sendirian sejak awal tahun ini.

Justeru, pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2017 itu mengidamkan persiapan terbaik, termasuk dihantar berlatih di luar negara dengan lebih kerap.

"MFF ada memaklumkan bahawa kami akan dihantar ke luar negara dengan menyertai beberapa kejohanan sebagai persediaan. 

"Namun, memandangkan bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) sudah tiada dan MFF sendiri kekurangan dana, jadi semuanya sekadar dalam perancangan," katanya. 

Atlet berusia 26 tahun itu tidak menolak sukan lawan pedang sudah mula dilupakan apabila tiada pencapaian memuaskan daripada atlet sejak berakhirnya Sukan SEA Kuala Lumpur selain berharap nasib itu akan berubah pada tahun depan.

"Kami perlu buktikan pencapaian terlebih dahulu, kemudian barulah MSN mahupun Kementerian Belia dan Sukan beri perhatian kepada kami," katanya. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen