Presiden Persatuan Kenu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, memberi jaminan bahawa barisan atlet akan melalui fasa pemilihan sewajarnya sebelum memuktamadkan 30 atlet terbaik ke Sukan SEA 2019 sebagaimana yang diinginkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

MASCA tidak akan mengambil mudah saranan MOM yang mahu memastikan hanya atlet terbaik dihantar ke Sukan SEA Manila, khususnya bagi sukan dalam kategori B tanpa mengambil kira alasan memberi pendedahan.

Bahkan, Shahriman mengutamakan skuad yang benar-benar mampu menggalas tugas dalam merealisasikan sasaran awal MASCA untuk membutirkan pingat pertama bagi sukan kenu di pentas temasya dwi-tahunan itu.



Acara bot tradisional yang bakal dipertandingkan buat julung kali dalam Sukan SEA 2019 tidak mustahil mampu mencipta kejutan buat kontinjen negara berdasarkan pencapaian meraih tempat keempat dalam Sukan Asia Indonesia.

"Kami sangat komited, kami memberi jaminan kepada MOM bahawa kami tidak akan menghantar sebarangan atlet.

"Kami mempunyai atlet profesional, kami menjalani persiapan yang tersusun.

"MASCA sudah mempunyai pasukan.

"Kami mungkin akan mengadakan satu lagi sesi pemilihan bagi menentukan barisan terbaik sahaja," katanya.

Megat Shahriman.selaku presiden baru bagi tempoh 2018-2021 menganggap tugasan pertamanya dalam menyediakan persiapan terbaik ke Sukan SEA 2019 bukan mudah, khususnya daripada segi kewangan, apabila MASCA sendiri pernah mengeluarkan peruntukan sehingga RM88,000 untuk menghantar atlet ke Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu.

"Daripada segi kewangan, kami mempunyai beberapa sumber daripada syarikat korporat.

"Walaupun dananya tidak banyak tetapi cukup untuk perjalanan pasukan ini serta jumlahnya lebih baik daripada kejohanan sebelum ini," ujarnya lagi.