Skuad bola jaring negara sedar mereka akan berdepan kekecewaan dalam mempertahankan pingat emas Sukan SEA Filipina 2019 seandainya mereka tidak melalui transformasi menjelang temasya itu dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Antara transformasi utama yang dirancang skuad negara adalah menerusi aspek corak permainan.

Dalam mereka perlu mengekalkan perincian taktikal, ketua pasukan negara, Nursyafazliana Mohd Ali, berkongsi satu elemen yang menjadi keutamaan tatkala kem persiapan menghadapi temasya dwi-tahunan itu, hujung tahun ini.

"Kami tidak mahu terus menerapkan taktikal lama seperti edisi 2017, jadi kami mencuba pendekatan baru.

"Kami tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri.

"Antaranya, kami cuba meningkatkan kepantasan hantaran dari jarak dekat," katanya di pusat latihan di Universiti Putra Malaysia, semalam.

Malaysia dijangka sekali lagi berentap dengan Singapura bagi penentuan pingat emas seperti dalam edisi Kuala Lumpur 2017 yang menyaksikan skuad negara menamatkan penantian 16 tahun untuk bergelar pasukan terbaik Asia Tenggara.

Begitupun, Nursyafazliana mengakui perlu ada rasa hormat dan berwaspada terhadap pesaing lain.

"Ramai yang meramalkan kami akan berjumpa Singapura dalam final. Apapun, kami perlu berwaspada dengan (ancaman) daripada negara lain.

"Ini kerana dalam tempoh setahun dua ini, kami belum pasti sejauh mana peningkatan mereka.

"Kami menganalisis permainan Singapura sebagai strategi mengalahkan mereka," tambahnya.