Pelari pecut negara, Nixon Kennedy, merancang untuk menyertai acara lompat jauh dengan misi layak ke Sukan SEA Filipina tahun depan selepas berjaya melepasi jarak tujuh meter ketika ujian dijalankan jurulatihnya.

Nama Nixon tenggelam di sebalik kehadiran beberapa pelumba pecut terbaik negara seperti Khairul Hafiz Jantan, Mohd Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa.

Pelari kelahiran Sarawak berkenaan memiliki catatan peribadi terbaik 10.43 saat dalam 100m, namun lebih banyak beraksi dalam acara 4x100m.

Justeru, Nixon berasakan sudah tiba masa dia mencuba lompat jauh pula.

"Saya bukannya menukar acara, cuma mencuba acara yang baru, iaitu lompat jauh.

"Sudah lama saya mengidam untuk beraksi dalam lompat jauh, cuma terhalang disebabkan banyak kejohanan pada tahun ini seperti Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Jakarta-Palembang.

"Saya akan cuba nasib dalam lompat jauh. Kalau saya boleh berikan saingan, maka saya akan fokus dalam acara ini," katanya.

Nixon pernah beralih ke basikal trek sehingga meraih tempat keempat dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016.

Jika segalanya berjalan lancar, dia akan mendapat sentuhan jurulatih lompat jauh negara, Mohd Firdaus Salim, dalam masa terdekat.