Sukan SEA 2019: Malaysia letak sasaran awal 96 emas 

Oleh Penulis Jemputan 20 Disember 2017 195
 Sukan SEA 2019: Malaysia letak sasaran awal 96 emas 
Pemangku Pengarah Bahagian Atlet, Majlis Sukan Negara (MSN), Jeffri Ngadirin, meletakkan sasaran awal sebanyak 93 hingga 96 pingat emas dalam Sukan SEA 2019 di Filipina dengan senarai awal 300 atlet akan dimasukkan dalam program baru MSN. 

Anggaran 28 hingga 34 sukan yang melibatkan kekuatan atlet negara menjurus kepada sasaran awal kutipan 93 emas. Sasaran itu merujuk kepada pelan sama yang telah dibuat pada 2015 dalam menyasarkan jumlah kutipan emas temasya KL2017. 

"Melalui sasaran yang dibuat pada 2015, kami berjaya melepasi sasaran itu dengan cemerlang. Proses yang sama akan dibuat dalam program Sukan SEA 2019.

"Kami mengandaikan sebanyak 93 hingga 96 pingat emas boleh dimenangi (Malaysia) berdasarkan andaian awal sukan-sukan yang akan dipertandingkan. Pungutan emas itu akan meletakkan kita dalam kalangan tiga negara terbaik," katanya. 

Dalam masa sama, program baru MSN akan bermula pada awal tahun depan, namun senarai awal sukan yang akan dipertandingkan di Filipina masih belum diumumkan pihak tuan rumah. 

"Sepatutny, senarai sukan-sukan yang akan dipertandingkan dalam Sukan SEA 2019 sudah diumumkan pada November, namun besar kemungkinan senarai tersebut akan dikeluarkan pada Februari 2018. 

"Daripada situ, kami akan merangka program berdasarkan sukan-sukan yang dicadangkan tuan rumah."

Nama program baru MSN itu akan diputuskan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. 

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen