Timbalan Presiden Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), Iruan Zulkifli, meletakkan harapan tinggi kepada peninju negara, Muhamad Fuad Redzuan, sebagai prospek pingat emas Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Keyakinan itu hadir apabila Fuad merealisasikan impian negara dalam temasya Kuala Lumpur 2017 selepas lapan tahun menunggu untuk meraih emas.

Iruan mahu mengkaji kelemahan tuan rumah, Filipina, dan Thailand sebagai langkah awal buat skuad tinju sekurang-kurangnya meraih satu emas daripada enam kategori yang dipertandingkan.

"Kami menaruh harapan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat dari Filipina.

"Kami tidak menyasarkan kilauannya tetapi kalau dapat emas, Alhamdulillah. Apapun, kami mengadakan persiapan yang terbaik," ujar Iruan.

Skuad tinju meraih satu emas melalui Fuad dalam kategori 49kg lelaki manakala pingat perak pula disumbangkan Adli Hafidz Mohd Pauzi menerusi kategori 81kg lelaki dalam Sukan SEA 2017.

Sementara itu, gangsa dimenangi R. Indran dalam acara 75kg lelaki.

PTAM bakal menyenaraikan barisan atletnya ke Sukan SEA 2019, September depan, selepas menjalani pemilihan dan sesi latihan pusat di Kazakhstan.

"Calon atlet sudah ada cuma kami mahu pilih yang terbaik.

"Kami khuatir akan berlakunya kecederaan dan latihan pusat di Kazakhstan membolehkan kami memilih atlet yang tepat," tambahnya.