Sukan SEA 2019: Jun Hoong akur terima sebarang kemungkinan

Oleh Staff Writer 27 November 2018 109
Sukan SEA 2019: Jun Hoong akur terima sebarang kemungkinan
Penerjun negara, Cheong Jun Hoong, tidak meletakkan harapan tinggi untuk mewakili Malaysia dalam acara papan anjal bagi saingan Sukan SEA Filipina 2019 selepas dua tahun tidak beraksi bagi acara itu dalam sebarang kejohanan.

Kali terakhir Jun Hoong beraksi bagi acara 3 meter papan anjal adalah ketika Sukan Olimpik Rio dua tahun lalu.

Andai tiada pertambahan acara dalam Sukan SEA tahun depan -- dengan tiga acara papan anjal sahaja dipertandingkan -- dia tidak menolak akan memberi laluan kepada penerjun lain yang lebih berpotensi untuk menghadirkan emas buat Malaysia. 

Situasi itu bakal menyaksikan penerjun berusia 28 tahun itu terpaksa melupakan Sukan SEA buat julung kalinya sejak edisi 2003. 

"Kalau fikir balik, ini kali pertama saya berdepan keadaan sebegini. Kebiasaannya, acara Olimpik akan dipertandingkan, iaitu lapan. Kali ini cuma tiga acara dan saya agak terkejut.

"Saya sudah beberapa tahun tidak beraksi dalam acara papan anjal. Melihat kepada barisan atlet lain yang mampu membawa cabaran negara, saya akan cuba sedaya-upaya," ujar Jun Hoong.

Jika dilihat jurang prestasi antara penerjun lain, juara dunia 2017 itu sedar dirinya sudah ketinggalan agak jauh disebabkan kecederaan lutut yang dialami sehingga memakan masa cukup lama untuk pulih sepenuhnya.

"Segalanya bergantung kepada tahap kecederaan saya. Itu paling penting. Kalau sehingga tahun depan saya boleh cuba mendapatkan tempat, saya akan cuba. Jika gagal, tidak mengapa kerana apa yang penting adalah tahap kesihatan saya."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen