Chef-de-Mission (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Manila 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, melahirkan kebimbangan mengenai isu logistik dan penyediaan makanan setelah pulang dari menghadiri mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SGF) di Filipina hari ini.

Pengamatan awal Megat Zulkarnain menyaksikan tuan rumah masih dalam fasa awal dalam membaik pulih serta membina beberapa venue sukan di samping isu logistik yang bakal menjadi masalah besar atlet dalam temasya itu nanti.

Selain Manila, dua bandar utama yang bakal menjadi tumpuan dalam temasya itu nanti adalah Clark dan Subic tatkala jarak perjalanan dari setiap bandar itu memakan masa sehingga 3 jam menggunakan jalan darat manakala perjalanan menggunakan ruang udara dibataskan oleh jadual penerbangan.

"Ada masalah daripada segi penerbangan terus. Jika berada di Clark, perlu sentiasa ada di sana. Jadi, kami mencadangkan ada dua timbalan CDM yang akan berada di Metro Manila dan Subic," katanya.

Selain itu, isu penyediaan makanan menjadi kerisauan memandangkan Clark dan Subic tidak mempunyai sumber makanan halal.

Megat Zulkarnain sudah pun mengutarakan permasalahan itu kepada sekretariat Jawatankuasa Olimpik Filipina dan jika keadaan mendesak, kontinjen negara bakal membawa tukang masak dari Malaysia untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Banyak yang saya lihat daripada sukan-sukan ini yang akan disertai oleh wakil Malaysia beragama Islam. Masalahnya adalah mencari makanan halal kerana saya difahamkan di Subic tiada sebarang kemudahan yang berpusat di beberapa hotel.

"Kami akan lihat bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini."