Sukan SEA 2019: Dua timbalan CDM ikut keperluan -- Nazifuddin 

Oleh Staff Writer 3 Disember 2018 145
Sukan SEA 2019: Dua timbalan CDM ikut keperluan -- Nazifuddin 
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib, menjelaskan keperluan untuk melantik lebih daripada seorang timbalan chef-de-mission (CDM) ke Sukan SEA Manila 2019 bergantung kepada jumlah penyertaan atlet negara yang bakal ke temasya sukan dwi-tahunan itu.

MOM mengambil serius saranan yang diutarakan CDM Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, yang berasakan kontijen negara memerlukan sekurang-kurangnya dua timbalan untuk mengawal selia pergerakan dan operasi sektretariat semasa Sukan SEA Manila tahun depan.

Langkah itu wajar ekoran tuan rumah, Filipina, akan menjadikan tiga bandar raya, iaitu Manila, Subic dan Clark sebagai venue utama temasya dwi-tahunan itu dengan masalah utama adalah jarak ketiga-tiganya yang melibatkan perjalanan selama tiga jam.

Justeru, antara agenda yang bakal dibincangkan dalam Mesyuarat Eksekutif MOM, Rabu ini, adalah individu yang bakal menjawat jawatan itu dan yang paling mustahak sedia bekerjasama dengan Megat.

"Kami perlu melihat terlebih dahulu venue-venue yang melibatkan atlet Malaysia. 

"Kalau ketiga-tiga venue tersebut banyak melangsungkan acara sukan melibatkan kontinjen Malaysia secara serentak, maka kita mungkin akan melantik dua timbalan CDM.

"Kalau tidak, mungkin seorang sahaja akan dilantik," ujar Nazifuddin. 

Mengenai status rayuan sukan yang mahu diserap ke Sukan SEA 2018, sukan kriket dilihat tidak mempunyai peluang cerah untuk disenaraikan tuan rumah berbanding satu lagi sukan, jet ski, yang berkemungkinan akan diserap menjadi sebahagian daripada kategori sukan luncur air.

"Saya melihat kriket tiada peluang untuk dianjurkan sebab keadaan tidak mengizinkan. 

"Namun, kami masih membuat rayuan sebelum kami mendapat maklumat mengenai sukan yang akan dipertandingkan pada Februari nanti," ujarnya lagi. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen