Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, sebagai salah seorang daripada dua timbalan ketua kontinjen negara dalam Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Begitupun, pemilihan seorang lagi timbalan chef-de-mission (CDM) dalam kalangan MOM belum diputuskan bagi membantu CDM, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, sepanjang temasya itu kelak.

"Kami sudah terima cadangan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bahawa Ahmad Faedzal akan mewakili peringkat kementerian.

"Memandangkan kami sudah mendapat nama calonnya daripada pihak kerajaaan, maka kami akan membincangkan perkara ini dalam mesyuarat pengurusan eksekutif untuk memuktamadkan kedua-dua nama timbalan CDM sebelum diumumkan," kata Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Tambah Ahmad Faedzal: "Saya anggap ia sebagai satu cabaran dan saya sedia menyahutnya.

"Saya berasakan kepercayaan yang diberikan ini harus dijadikan inspirasi buat saya sebagai penggerak pentadbiran sukan negara."

Sukan SEA 2019 dijadual berlangsung di empat kluster, iaitu Manila, Clark, Subic dan BLT (Batangas, La Union dan Tagaytay).