Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hanya dapat mengesahkan jumlah sebenar sukan yang akan dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina 2019 selepas Majlis Persekutuan Sukan SEA bermesyuarat hujung bulan depan.

Sebanyak 56 jenis sukan telah diluluskan oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHILSOC) bagi temasya dwi-tahunan itu.

Jumlah itu terlalu tinggi jika dibandingkan dengan temasya Kuala Lumpur 2017 yang menampilkan 38 jenis sukan.

Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, menjelaskan selain 13 jenis sukan yang diusulkan oleh badan itu, sebarang pengesahan mengenai jumlah sebenar masih belum dapat diputuskan.

"Apa sahaja perbincangan dalam mesyuarat tersebut bukan muktamad kerana ia hanya akan disahkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHILSOC), hujung bulan depan.

"Apa sahaja yang perkembangan yang kita dengar hari ini, ia belum muktamad.

"Matlamat kami ia mengusulkan jenis 13 sukan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM kali keenam di Kuala Lumpur, hari ini.

Lembaga Eksekutif MOM mengumumkan Naib Presiden, Tan Sri Mohd Nor Abd Rahim, sebagai pengerusi jawatankuasa bagi mengenal pasti calon yang sesuai sebagai ketua kontinjen negara ke Sukan SEA Filipina.

Jawatankuasa berkenaan bakal menyerahkan senarai calon menjelang Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM yang berikutnya pada pertengahan bulan depan.

Dalam temasya Kuala Lumpur 2017, kontinjen Malaysia diketuai oleh Datuk Marina Chin sambil dibantu oleh M. Kumaresan serta Jefri Ngadirin.

"Yang pertama ialah memastikan kriteria yang sesuai terhadap seseorang calon itu.

"Yang kedua, mengenal pasti calon-calon yang mempunyai kriteria-kriteria tersebut.

"Kami akan cuba mendapatkan maklum balas mengenai siapakah calon yang sesuai.

"Kami mahu ia dijalankan melalui proses yang sistematik," katanya lagi.