Sukan SEA 2017: Venue utama dijangka siap mengikut jadual

Oleh Shaiful Shamsudin 8 Disember 2016 960
  Sukan SEA 2017: Venue utama dijangka siap mengikut jadual
"Kami ikut perancangan dan ia sudah dimaklumkan lebih awal kepada pihak penganjur." Itu reaksi Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Stadium Malaysia, Azman Fahmi Osman, sekaligus menepis kebimbangan mengenai venue utama Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Sports City di Bukit Jalil, yang akan disiapkan sepenuhnya sebelum temasya dwitahunan itu berlangsung. 

Sebelum ini, wujud kebimbangan venue utama Sukan SEA 2017, KL Sports City, lewat disiapkan dan hanya bersedia sebulan sebelum temasya.

"Kompleks Sukan Bukit Jalil akan disiapkan mengikut masa yang telah ditetapkan seperti mana yang kami maklumkan semasa majlis menandatangani perjanjian dengan pihak MRCB (Malaysian Resources Corporation Berhad), tahun lalu.

"Kami sudah dimaklumkan stadium akan siap diserahkan kepada kami pada Julai. Saya rasa tempohnya cukup. 

"Sebelum diserahkan kepada kami, pihak MRCB akan mengadakan ujian terhadap semua kemudahan agar kami dapat terus menggunakan stadium tersebut untuk apa-apa acara," katanya ketika ditemui ketika Persidangan Undang-Undang Sukan Edisi Ke-4 yang dianjurkan oleh Pusat Timbangtara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA) dan Persatuan Undang-Undang Sukan Malaysia di ibu negara, hari ini.  

Malah, beliau mengesahkan pembinaan dan menaik taraf venue pertandingan lain untuk temasya itu di Bukit Jalil turut berjalan lancar. 

Difahamkan, pihak pemaju yang bertanggungjawab juga akan membentangkan laporan penuh tahap kerja-kerja ubah suai yang dijalankan di Bukit Jalil pada pertengahan bulan ini.

"Semuanya berjalan dengan lancar. Kami berbangga mendapat komitmen yang tinggi daripada pihak MRCB untuk projek ini disiapkan tepat pada masanya. 

"Dalam seminggu dua lagi, kami akan mengumumkan sejauh mana perlaksanaannya."

Dalam perkembangan lain, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, dalam ucapannya mengesahkan sukan muay thai dan pasukan sorak bakal menjadi acara baru dalam Sukan Olimpik pada masa depan. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen