Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar, kecewa apabila Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC) masih gagal menentukan venue pertandingan dan hotel penginapan atlet tatkala temasya itu hanya berbaki lapan bulan lagi.

MOM mula dihujani dengan persoalan daripada negara peserta lain mengenai venue pertandingan dan hotel penginapan.

Sukar untuk badan induk itu memberikan maklum balas kerana MASOC sedang menyelesaikan perkara itu.

Namun, dengan masa yang semakin suntuk, ia sekali gus meletakkan MOM dan negara peserta lain dalam situasi tertanya-tanya.

"Apa yang ingin kami ketahui adalah apa yang berlangsung di sekitar kawasan hotel, di mana pasukan akan menginap dan bagaimana dengan pengangkutan mereka.

"Ada beberapa sukan masih lagi tidak mempunyai bayangan di mana mereka bakal beraksi dan adakah venue pertandingan akan bersedia untuk pertandingan.

"Ia merupakan antara maklumat penting yang kami ingin tahu dan apa yang sedang berlaku," ujarnya.

MASOC menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zolkples Embong, memutuskan kontinjen 11 negara peserta termasuk tuan rumah Malaysia, akan menginap di hotel berdekatan venue pertandingan.

Bagaimanapun, masalah timbul apabila venue pertandingan masih belum diputuskan.

MOM akan menuntut gambaran yang lebih jelas apabila mesyuarat pengurus pasukan berlangsung Isnin ini.

"Jika tidak dimaklumkan pada bulan ini, sekurang-kurangnya pada awal Januari kami perlu menerima semua maklumat daripada MASOC.

"Mereka perlu memuktamadkan perkara-perkara mengenai penginapan dan pengangkutan," jelas Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo, melontarkan pandangan agar atlet tidak menginap jauh dari venue pertandingan bagi memudahkan mereka.

"Seperti sukan boling acara akan berlangsung di Sunway dan adalah lebih baik untuk atlet tinggal di kawasan Sunway.

"Tidak masuk akal untuk menempatkan mereka di Kuala Lumpur kerana atlet perlu berulang-alik.

"Bowling adalah antara sukan yang selalunya akan menamatkan acara pada lewat malam dan akan memulakan pertandingan semula pada awal pagi.

"Sekiranya acara berlangsung di Putrajaya, kami mencadangkan atlet untuk tinggal di Putrajaya," jelasnya.

Terdahulu, MOM mengadakan mesyuarat majlis di Kuala Lumpur yang dihadiri 18 ahli gabungan.