Biarpun menjadikan hotel di sekitar ibu kota sebagai penginapan rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, yakin kawalan keselamatan dan logistik akan berada di tahap terbaik.

Kontinjen Malaysia akan ditempatkan di Hotel Renaissance sebagai penginapan rasmi mereka sepanjang temasya itu berlangsung.

Selain itu, beberapa hotel di ibu kota juga sedang dikenal pasti untuk dijadikan perkampungan sukan bagi kontinjen negara lain.

Namun, beberapa persoalan seperti keselamatan atlet dan logistik disuarakan memandangkan lokasi hotel terletak di tengah bandaraya dan menjadi tumpuan umum.

"Sudah tentu dalam mana-mana kejohanan pun suasananya meriah, di Manila lagilah meriah.

"Begitu juga di Vietnam dan di Korat, Thailand pun dalam keadaan yang sama.

"Jadi, proses kawalan atlet itu selain daripada atlet itu sendiri, jurulatih dan pengurusan juga akan mengawal pergerakan atlet.

"Selain itu, kami juga mempunyai urusetia kontinjen yang mengadakan langkah kawalan keselamatan dan disiplin," ujar Shapawi.

Dalam perkembangan lain, chef-de-misson negara, Datuk Marina Chin, yakin barisan atlet sudah bersiap sedia kerana sedar tentang agenda nasional yang bakal dihadapi tahun hadapan.

Beliau juga menggesa atlet yang tidak tersenarai dalam Program Kita Juara fasa dua kali ini agar menggandakan usaha bagi menempatkan diri dalam fasa akhir pemilihan pada Mac nanti.

"Kami banyak berhubung untuk saya memahami masalah mereka (atlet) atau kemungkinan yang akan berlaku di mana kita boleh ambil tindakan awal supaya dalam Sukan SEA nanti, kita boleh kurangkan gangguan yang mungkin berlaku.

"Ini untuk membolehkan atlet berada dalam keadaan di mana mereka hanya perlu fokus kepada pencapaian mereka," katanya ketika ditemui di majlis penutup perhimpunan atlet Program Kita Juara fasa dua di ibu kota, hari ini.