Penolong jurulatih skuad taekwondo negara, Rusfredy Tokan Petru, menganggap sasaran empat pingat emas yang ditetapkan Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) untuk Sukan SEA 2017, tidak terlalu membebankan atletnya atas faktor kelebihan sebagai tuan rumah.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA bagi sukan taekwondo ialah pada 2009 menerusi Che Chew Chan dalam kategori wanita bawah 73 kilogram.

Namun, rekod itu tidak membimbangkan Rusfredy yang menganggap Sukan SEA 2017 pasti menjadi satu medan berbeza buat kebanyakan atlet taekwondo negara.

Baginya, beraksi di laman sendiri pasti memberi kelebihan kepada atlet negara dalam beberapa aspek.

"Kami sudah mempunyai perancangan ke atas semua atlet kami untuk mempunyai peluang cerah memenangi pingat emas memandangkan kita adalah tuan rumah.

"Kami berharap ramai peminat akan datang memberi sokongan kepada atlet-atlet negara bagi melonjakkan semangat atlet," kata Rusfredy.

Atlet taekwondo negara bakal berkelana ke Korea Selatan pada penghujung Disember ini selama dua bulan sebelum menghadapi Kejohanan Taekwondo ASEAN pada Mac tahun depan.

"Kami menghantar atlet ke Korea bagi tujuan meraih pengalaman.

"Ketika ini, kami sudah bersedia untuk menyertai kejohanan, cuma saya mahu mereka menimba lebih banyak pengalaman di Korea."

Selepas kejohanan itu, semua atlet taekwondo negara bakal kembali ke Korea Selatan sebagai persediaan terakhir untuk menghadapi Sukan SEA.