Program pembangunan menyeluruh menjadi taruhan skuad karate negara dalam tempoh getir empat tahun ini bagi memastikan wakil Malaysia beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut pengurus skuad karate negara, Nik Ismail Rashid, langkah pertama sudah pasti persembahan meyakinkan di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun depan.

Ibarat ingin melepaskan geram, skuad karate akan beraksi dalam semua 16 acara selepas ia tidak dipertandingkan di Singapura dua tahun lalu.

Andai mampu menyinar dalam Sukan SEA, tumpuan berikutnya terarah kepada temasya Sukan Asia Jakarta 2018, sebelum setahun kemudian menyaksikan permulaan kelayakan ke Olimpik Tokyo.

Dalam pada itu, Nik Ismail menyasarkan skuad karate negara mampu meraih sekurang-kurangnya enam pingat emas dalam Sukan SEA 2017.

"Kami menyasarkan enam pingat emas yang dirasakan rasional. Ia telah dipersetujui oleh pihak MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan MSN (Majlis Sukan Malaysia) selain MAKAF (Persekutuan Karate Malaysia)," katanya.

Kali terakhir karate dipertandingkan pada 2013 di Myanmar, yang menyaksikan acara ini menyumbangkan tujuh emas buat kontinjen negara.

Antara atlet yang bakal menjadi sandaran untuk memperoleh pingat adalah Lim Chee Wei, Syakila Salni, R. Shamendran serta Shree Sharmini Segaran.

"Kita akui Sukan SEA adalah halangan pertama, yang kedua, Sukan Asia 2018 di Jakarta. 2019 adalah pemilihan Olimpik Tokyo dan MAKAF bersedia menyahut cabaran ini," tambahnya.